Sunday 5 June 2011

Mari Membaca

Ikut Nasihat Ibu
Nini seorang budak yang pandai dan rajin. Namun, Nini degil dan keras kepala. Kata-kata ibu dan ayahnya selalu tidak dituruti. Nini berasa dirinya sudah besar dan boleh membuat keputusan sendiri tanpa nasihat daripada ibu dan ayah. Di rumahnya, terdapat akuarium kecil berwarna merah jambu yang menempatkan 5 ekor ikan kecil. Nini selalu memberi makanan kepada ikan-ikan kecil itu. Ibu selalu mengingatkan Nini supaya menjaga ikan itu dengan baik dan tidak memberi makan terlalu kerap. Jika tidak perutnya akan terlalu penuh dan ikan boleh mati. Nini tidak mempercayai kata-kata ibunya. Lagi pun di sekolah ada akuarium besar yang menempatkan banyak ikan bersaiz besar. Nini selalu melihat Pak Mat, tukang kebun sekolah memberi makan ikan itu beberapa kali sehari. Nini mahu ikan-ikan kecil dalam akuariumnya membesar dengan cepat. Disebabkan itu, Nini tidak mempedulikan teguran ibunya. Dengan gembira, Nini mencurahkan segenggam makanan ikan ke dalam akuarium. Nini tersenyum dan berkata tidak lama lagi ikan-ikannya akan besar. Selepas memberi makan, Nini bermain basikal di taman permainan. Sekembali daripada bermain basikal, Nini terus menerpa untuk melihat ikan di dalam akuarium. Alangkah sedihnya Nini apabila semua ikannya mati. Nini akhirnya menyesal kerana tidak mengikut nasihat ibu.

Kalau sudah baca, cuba senaraikan nilai murni dan pengajaran yang boleh kita ambil...
1.  _________________________
2.  _________________________
3.  _________________________
4.  _________________________
5.  _________________________




Hati Kecil Berjiwa Besar
Sang gajah selalu memusnahkan kediaman sang semut tetapi sang semut tidak membalas dendam kerana dia adalah seekor semut yang baik hati. Pada suatu hari, sang gajah terlalu marah kerana kediamannya dirobohkan oleh sekumpulan kerbau yang melalui kawasan itu. Sang gajah menangis teresak-esak. Perlakuan sang gajah diperhatikan oleh sang semut yang kebetulan lalu di situ. Dengan rasa simpati sang semut menegur sang gajah. “Sabarlah gajah. Ini dugaan untuk kau.” kata sang semut dari jarak yang agak jauh. “Eh, kau rupanya. Kenapa kau datang ke sini? Kau mahu mentertawakan aku ya?” sang gajah tetap dengan sikap sombongnya. “Kebetulan lalu di sini, aku terdengar kau menangis.” “Puas hati kau. Rumah aku sudah roboh. Agaknya kau bersubahat dengan kerbau-kerbau itu untuk memusnahkan rumah aku.” tuduh sang gajah. “Tidak, aku tidak kenal mereka pun. Beginilah gajah. Kau tidak perlu menangis lagi. Mari aku tolong bina semula rumah kau. Aku akan minta bantuan kawan-kawan lain.” Sang gajah sangat terkejut dengan tawaran sang semut. Bukankah aku selalu musnahkan rumah kau. Kenapa mahu bantu aku pula?”. “Kerana kita sama-sama menghuni kawasan ini.” Kata-kata sang semut mengharukan sang gajah. Tidak lama selepas itu, semua binatang yang menghuni hutan tersebut bergotong-royong membina kediaman sang gajah. Malah, lebih cantik dan lebih besar daripada dahulu. Akhirnya, mereka semua tinggal di satu bumbung dan hidup harmoni.

Cuba senaraikan nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan tauladan.
1.  ______________________ 
2.  ______________________ 
3.  ______________________ 
4.  ______________________ 
5.  ______________________ 

Jangan lupa selepas senaraikan nilai murni tulis pula dalam bentuk satu perenggan.....
SELAMAT MENCUBA...

0 ulasan:

THANKS FOR STOPPING BY ...