Saturday 18 June 2011

Selamat Hari Bapa


Assalamualaikum semua...


Esok merupakan hari bapa. Cikgu nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan SeLaMAt HaRi BapA buat semua yang dipanggil ayah, bapak, abah, walit, papa, daddy .... di dunia.  Banyak pengorbanan yang  ayah lakukan untuk kita.  Terutama buat suami cikgu yang tersayang dan dicintai ‘ Selamat Hari Abah’..itu panggilan yang dipanggil oleh anak cikgu,  Afiq. 

Nak ucap kat ayah cikgu...tak dapat pulak..sebab ayah cikgu telah pun kembali ke rahmatullah kira-kira 3 tahun lepas...Tuhan lebih menyayangi beliau. Rindu akan panggilan itu. Buat arwah ayahanda cikgu yang tersayang, yang sentiasa dirindui, yang sentiasa ada di dalam hati... AL FATIHAH.. semoga roh ayahanda cikgu ditempatkan dalam kalangan  orang-orang yang beriman..AMIN...
  
Kalau nak cerita pasal arwah ayah cikgu ni..panjang tapi biarlah cikgu pendekkan saja.. arwah ayah cikgu seorang gigih bekerja untuk membesarkan anak-anaknya yang ramai. Macam-macam kerja dilakukan daripada seorang polis bantuan waktu zaman Jepun hinggalah seorang peniaga yang berkhidmat untuk orang kampung. Dengan hasil berniaga tulah beliau dapat membesarkan anak-anaknya hinggalah anak-anak semua besar dan mendirikan rumah tangga. Apa yang paling cikgu ingat, masa kecil cikgu duduk di ribanya setiap pagi sambil melihat abang-abang dan kakak-kakak pegi sekolah. Lepas tu pasti bau rokok ayah cikgu akan melekat pada cikgu...tentu tahukan baunyakan... Dan lagi masa kecil jugak cikgu akan dibawa mandi  di sungai dan lepas tu akan dipukul dengan tuala ( bukan pukul tapi mengelap badan yang basah ) tanda sayang la tu... Dan kalau nak tahu arwah ayah cikgu ni tak pernah pukul, rotan ke, cubit ke ...mungkin cikgu ni anak yang bongsu dan itulah agaknya tidak pernah kena pukul...Suka..suka...suka. Anak manja katakan. Itu lah yang selalu disebut oleh adik beradik cikgu..Tapi walaupun begitu cikgu memang tidak berani melawan cakap arwah ayah cikgu. Cikgu anak yang baik (perasan la pulak)..

Itu masa cikgu kecik-kecik... kalau masa cikgu remaja pulak..arwah ayah cikgu akan menjadi penunggu setia cikgu di perhentian bas. Arwah la yang akan menghantar dan mengambil cikgu pulang dari kerja...masa tu cikgu kerja kilang sementara menunggu keputusaan peperiksaan STPM. Sweet sangat kalau nak ingat semua cerita ....Walau apapun cikgu nak ucapkan SELAMAT HARI BAPA buat semua ....


P/S- Anak murid semua jangan lupa ucapkan selamat hari bapa kepada bapa kamu dan kalau boleh buatlah kad ucapan sempena hari bapa ni...Jangan lupa tau...

Sunday 5 June 2011

Sahabat








Manfaat Masa Cuti Anda




Cuti sekolah datang lagi. Selamat memanfaatkan masa cuti anda dengan sebaiknya. Jadikan cuti adik-adik kali ini, yang terbaik yang pernah adik-adik ada.
Antara tips yang boleh dikongsi sempena cuti sekolah ini:-
1) Senaraikan tugasan-tugasan yang perlu disiapkan untuk cuti sekolah ini.
Contohnya, sekiranya cikgu ada memberikan kerja rumah, dan perlu disiapkan semasa cuti sekolah, senaraikan. ( Jangan lupa siapkan karangan yang cikgu suruh buat ..... )
2) Siapkan kerja yang diberi secepat yang boleh. Jangan tangguh-tangguh. Bila last minute, semuanya akan jadi kelam-kabut.
3) Jika tiada kerja rumah, senaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh adik-adik lakukan. Contohnya, menghabiskan sekurang-kurangnya satu buku cerita dan membantu ibu di dapur.
4) Jangan buang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Masa itu emas.
5) Rancang cuti anda dengan sebaiknya.
Selamat mencuba ^_^

Mari Membaca

Ikut Nasihat Ibu
Nini seorang budak yang pandai dan rajin. Namun, Nini degil dan keras kepala. Kata-kata ibu dan ayahnya selalu tidak dituruti. Nini berasa dirinya sudah besar dan boleh membuat keputusan sendiri tanpa nasihat daripada ibu dan ayah. Di rumahnya, terdapat akuarium kecil berwarna merah jambu yang menempatkan 5 ekor ikan kecil. Nini selalu memberi makanan kepada ikan-ikan kecil itu. Ibu selalu mengingatkan Nini supaya menjaga ikan itu dengan baik dan tidak memberi makan terlalu kerap. Jika tidak perutnya akan terlalu penuh dan ikan boleh mati. Nini tidak mempercayai kata-kata ibunya. Lagi pun di sekolah ada akuarium besar yang menempatkan banyak ikan bersaiz besar. Nini selalu melihat Pak Mat, tukang kebun sekolah memberi makan ikan itu beberapa kali sehari. Nini mahu ikan-ikan kecil dalam akuariumnya membesar dengan cepat. Disebabkan itu, Nini tidak mempedulikan teguran ibunya. Dengan gembira, Nini mencurahkan segenggam makanan ikan ke dalam akuarium. Nini tersenyum dan berkata tidak lama lagi ikan-ikannya akan besar. Selepas memberi makan, Nini bermain basikal di taman permainan. Sekembali daripada bermain basikal, Nini terus menerpa untuk melihat ikan di dalam akuarium. Alangkah sedihnya Nini apabila semua ikannya mati. Nini akhirnya menyesal kerana tidak mengikut nasihat ibu.

Kalau sudah baca, cuba senaraikan nilai murni dan pengajaran yang boleh kita ambil...
1.  _________________________
2.  _________________________
3.  _________________________
4.  _________________________
5.  _________________________




Hati Kecil Berjiwa Besar
Sang gajah selalu memusnahkan kediaman sang semut tetapi sang semut tidak membalas dendam kerana dia adalah seekor semut yang baik hati. Pada suatu hari, sang gajah terlalu marah kerana kediamannya dirobohkan oleh sekumpulan kerbau yang melalui kawasan itu. Sang gajah menangis teresak-esak. Perlakuan sang gajah diperhatikan oleh sang semut yang kebetulan lalu di situ. Dengan rasa simpati sang semut menegur sang gajah. “Sabarlah gajah. Ini dugaan untuk kau.” kata sang semut dari jarak yang agak jauh. “Eh, kau rupanya. Kenapa kau datang ke sini? Kau mahu mentertawakan aku ya?” sang gajah tetap dengan sikap sombongnya. “Kebetulan lalu di sini, aku terdengar kau menangis.” “Puas hati kau. Rumah aku sudah roboh. Agaknya kau bersubahat dengan kerbau-kerbau itu untuk memusnahkan rumah aku.” tuduh sang gajah. “Tidak, aku tidak kenal mereka pun. Beginilah gajah. Kau tidak perlu menangis lagi. Mari aku tolong bina semula rumah kau. Aku akan minta bantuan kawan-kawan lain.” Sang gajah sangat terkejut dengan tawaran sang semut. Bukankah aku selalu musnahkan rumah kau. Kenapa mahu bantu aku pula?”. “Kerana kita sama-sama menghuni kawasan ini.” Kata-kata sang semut mengharukan sang gajah. Tidak lama selepas itu, semua binatang yang menghuni hutan tersebut bergotong-royong membina kediaman sang gajah. Malah, lebih cantik dan lebih besar daripada dahulu. Akhirnya, mereka semua tinggal di satu bumbung dan hidup harmoni.

Cuba senaraikan nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan tauladan.
1.  ______________________ 
2.  ______________________ 
3.  ______________________ 
4.  ______________________ 
5.  ______________________ 

Jangan lupa selepas senaraikan nilai murni tulis pula dalam bentuk satu perenggan.....
SELAMAT MENCUBA...

THANKS FOR STOPPING BY ...